Ramai jemaah terkejut bila sampai Madinah — “Kenapa tak boleh masuk Rawdah terus?” Sejak beberapa tahun kebelakangan, pihak berkuasa Saudi sudah mansuhkan sistem walk-in dan beratur manual.

Sekarang, WAJIB tempah slot melalui aplikasi Nusuk. Tiada slot, tiada kemasukan.

Apa Itu Rawdah?

Rawdah (Taman Syurga) ialah kawasan istimewa di dalam Masjid Nabawi, antara mimbar Rasulullah SAW dan bilik baginda. Rasulullah SAW bersabda: “Antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman dari taman-taman syurga.” Sebab itulah ia sangat diminati dan perlu dikawal.

Cara Tempah Slot

  1. Muat turun aplikasi Nusuk dari App Store atau Google Play.
  2. Daftar akaun menggunakan nombor passport anda.
  3. Pilih “Visit Rawdah” dan pilih tarikh serta slot masa yang tersedia.
  4. Bawa telefon ke masjid — pengawal keselamatan akan scan QR code di pintu masuk.

Perkara Penting

  • Slot terhad — terutama untuk jemaah wanita. Kadang-kadang slot penuh 2-3 hari lebih awal. Tempah seawal mungkin selepas visa diluluskan.
  • Slot wanita biasanya pada waktu tertentu sahaja (selalunya pagi selepas Subuh). Semak dalam app untuk jadual terkini.
  • Bawa passport — kadang-kadang diminta untuk pengesahan di pintu masuk.
  • Datang awal — sampai 15-20 minit sebelum slot bermula. Kalau lambat, slot mungkin diberi kepada orang lain.

Untuk Jemaah Yang Kurang Mahir Teknologi

Jangan risau. Beritahu mutawwif anda — mereka biasa bantu jemaah warga emas mendaftar dan menempah slot. Minta anak atau cucu yang menemani untuk tolong setupkan app sebelum bertolak dari Malaysia.

Rawdah adalah satu pengalaman yang tak ternilai. Jangan sampai terlepas hanya kerana tak tempah slot awal.