Sucikan Niat: Persoalan Paling Penting Sebelum Menjejakkan Kaki ke Tanah Suci
Hotel dah tempah. Baju ihram dah beli. Kasut pun dah seasoned. Checklist ubat dah lengkap. Tapi ada satu benda yang tak boleh dibungkus dalam beg — dan ia lebih penting dari semua tu.
Niat.
Soalan Yang Perlu Ditanya Kepada Diri Sendiri
Cuba duduk seketika, pejamkan mata, dan tanya — kenapa saya nak pergi Umrah?
- Sebab nak selfie depan Kaabah untuk Instagram?
- Sebab semua kawan dah pergi dan malu belum pernah?
- Sebab mak ayah paksa?
- Atau sebab rindu nak berdiri di hadapan Tuhan, dan minta ampun?
Tak ada siapa yang sempurna. Mungkin niat kita bercampur-campur. Dan itu tak mengapa — asalkan kita sedar, dan kita betulkan.
Niat Itu Perlu Sentiasa Diperbaharui
Niat bukan sesuatu yang kita “set and forget.” Ia perlu dijaga sepanjang perjalanan:
- Bila anda penat dan rasa nak marah dalam kesesakan tawaf — kembali kepada niat.
- Bila anda tergoda nak membeli-belah lebih dari beribadah — kembali kepada niat.
- Bila anda sibuk ambil gambar lebih dari berdoa — kembali kepada niat.
“Sahaja aku mengerjakan ibadah ini kerana Allah Taala.”
Ayat pendek ni, tapi beratnya luar biasa.
Satu Kisah Untuk Direnungkan
Ada seorang jemaah tua yang kami temani, beliau kata: “Saya tunggu 30 tahun untuk datang ke sini. Bukan sebab tak mampu — sebab saya rasa niat saya belum cukup bersih.” Bila beliau akhirnya sampai dan pandang Kaabah buat pertama kali, beliau menangis lama.
Bukan semua orang perlu tunggu 30 tahun. Tapi pengajaran beliau jelas — ibadah yang paling kecil tapi ikhlas, lebih baik dari ibadah yang paling besar tapi penuh riak.
Malam ni sebelum tidur, luangkan 5 minit. Letakkan telefon, tutup mata, dan betulkan niat. Itu persediaan Umrah yang paling penting — lebih penting dari mana-mana checklist.