Kita faham — bukan semua orang mampu hafal doa berbeza untuk setiap 7 pusingan tawaf. Ada yang nervous, ada yang terlalu fokus jaga langkah dalam kesesakan. Jangan risau. Ada satu doa pendek yang sangat afdhal dibaca berulang kali, khususnya di antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad.

Orang panggil doa ni “doa sapu jagat” — sebab ia merangkumi kebaikan dunia dan akhirat sekaligus.

Doa Antara Rukun Yamani & Hajar Aswad

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Rabbana atina fid-dunya hasanah, wa fil-akhirati hasanah, wa qina ‘adhaban-nar

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.”

Kenapa Doa Ini Istimewa?

  • Ia dari Surah Al-Baqarah (2:201) — doa yang Rasulullah SAW sendiri kerap baca.
  • Pendek dan mudah dihafal — sesuai untuk semua peringkat umur.
  • Boleh dibaca berulang kali sepanjang tawaf, bukan hanya di bahagian Rukun Yamani ke Hajar Aswad.

Tips Untuk Jemaah Berumur

Jika sukar menghafal doa-doa panjang lain, fokus pada doa ini sahaja sepanjang 7 pusingan. Ia sudah mencukupi dan sangat bermakna. Yang penting, hati khusyuk dan lidah basah dengan zikir.